Chat cni ramai2 taw.. Jgn gaduh dn cakap benda x elok

Monday, December 13, 2010

Idola Kecil 3 Bermula!!


Setelah mendapat sambutan yang amat mengagumkan sepanjang dua musim berturut-turut, program realiti kanak-kanak No.1 di Malaysia, Idola Kecil kini kembali menghangatkan kaca televisyen anda untuk musim ketiga.

Malam tadi menyaksikan sepuluh peserta cilik memulakan persaingan dengan berentap di atas pentas Idola Kecil 3 (IK3) menerusi konsert pertamanya. Ternyata, persaingan musim terbaru ini lebih sengit memandangkan kesemua peserta hebat-hebat belaka.

Pada konsert pertama, peserta diberi peluang untuk menyanyi lagu kegemaran mereka sendiri. Persembahan mereka pada malam tadi telah diadili oleh juri tetap, Atilia dan juri jemputan Norzizi Zulkifli. Bagi konsert mingguan yang pertama ini, tiada sebarang penyingkiran dilakukan.

“Konsep pada minggu ini adalah bebas di mana peserta diberi kebebasan untuk memilih lagu kegemaran mereka sendiri. Pada hakikatnya, semua peserta pada musim ini layak untuk mendapat gelaran juara IK3 memandangkan kesemuanya hebat-hebat belaka. Kalau boleh nak bawa kesepuluh-kesepuluh peserta ke final, tapi nampaknya tak boleh.

“Walaupun minggu ini tidak ada penyingkiran, namun penyingkiran tetap akan berlaku nanti. Kita tak boleh nak beritahu minggu ke berapa akan ada penyingkiran, kerana akan ada kejutan,”ujar penerbit IK3, Nurul Ashikin Halim ketika ditemui di Studio Glenmarie, Shah Alam, kelmarin.

Peserta dari Kedah, Farra Noradzlina Safwan memulakan persembahan pada malam tadi dengan menyanyikan lagu Ella berjudul Retak. Memiliki suara serak-serak basah, Farra berjaya membuat persembahan dengan baik walaupun dalam keadaan kaki yang tercedera.

“Kaki Farra cedera kerana tersepit dekat tangga masa mandi kolam renang hari itu. Disebabkan insiden itu, Farra menerima lima jahitan. Pada mulanya, Farra rasa gementar sangat, tapi sekarang dah rasa lega. Walaupun kaki Farra cedera, Farra tetap cuba buat yang terbaik.”

Persembahan kedua dibuat oleh Shazlin Salamat menerusi lagu Tak Tercapai Akalmu nyanyian Elyana manakala persembahan ketiga oleh Abdul Hadi Abdul Mazlan dengan lagu Inilah Cinta nyanyian Akim.

“Masa awal-awal menyanyi atas pentas, rasa berdebar dan gementar sangat sebab tengok ramai penonton. Tadi juri pun ada komen, kata saya tak cukup bertenaga dan nampak gementar. Apa-apapun, saya akan cuba buat yang terbaik untuk konsert minggu hadapan,”kata peserta dari Sarawak yang berjaya mendapat keputusan 5A dalam UPSR yang lalu.

Lain pula dengan peserta dari Kuala Lumpur, Hadi, di mana persembahannya yang bersahaja serta mukanya yang comel telah berjaya memikat hati juri dan penonton di studio.

“Hadi rasa seronok bila berada di atas pentas tadi, tapi dalam hati tetap rasa gementar. Mula-mula tu takut juga sebab takut buat salah. Tapi, nasib baik komen juri okay dan tak teruk sangat. Minggu depan saya akan buat lagi baik pada malam ini.”

Sukar untuk menentukan siapa yang hebat antara kesepuluh peserta yang bertanding pada musim ini. Namun untuk setakat ini, peserta yang paling menyerlah ialah Nor Harris Alif Bin Norashidi dari Pulau Pinang.

Harris yang berpengalaman membuat persembahan di beberapa buah tempat sekitar Pulau Pinang berjaya menggamatkan segenap ruang di studio dengan menyampaikan lagu Pelesit Kota dari kumpulan Search. Persembahan rock oleh Harris ternyata memukau dan menghiburkan seluruh penonton dan juga juri.

“Syukur, Alhamdulillah kerana saya dapat komen yang bagus dari pihak juri. Saya gembira sangat dan saya janji akan cuba buat lagi baik untuk minggu hadapan.”

Peserta lain yang membuat persembahan ialah Nurhamilya Adiba Hamzaidi (Permata Biru-Ella), Nadeera Allysha Aminudin (Aku Lebih Tahu-Mila), Angelica Paujin (Gemilang-Jaclyn Victor), Nor Balqis Ahmad Tajudin (Elegi Sepi-Azharina), Muhammad Afif Abdul Halim (Hati Emas-M.Nasir) dan Puteri Aszfaryna Khareeza (Tak Mungkin Kerna Sayang-Alyah).

Pada musim terbaru ini, TV9 akan membawa penonton melihat di sebalik tabir aktiviti-aktiviti peserta di luar kelas dengan menyiarkan Klip Mini IK3 selama 3 minit, pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 7.00 petang dan Klip Ekstra IK3 selama setengah jam pada setiap Jumaat jam 9.00 malam.

Kebanyakan peserta cilik ini sudah pun mempunyai pengalaman dalam membuat persembahan dan ada juga yang pernah berganding dengan penyanyi-penyanyi popular Malaysia. Farra Noradzlina, yang baru sahaja berumur 10 tahun, pernah berkongsi pentas bersama dengan ratu rock Malaysia, Ella. Begitu juga dengan Puteri Aszfaryna Khareeza yang pernah berduet dengan penyanyi popular era 70an hingga 90an iaitu Salamiah Hassan.

Bagi Nor Harris Alif pula, beliau pernah membuat persembahan di Hard Rock Café, Pulau Pinang, bersama kumpulan muziknya sendiri. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa mereka semua mempunyai bakat luar biasa yang akan terus digilap dan sekaligus memperkukuhkan posisi program ini sebagai sebuah platform pencarian bakat utama di Malaysia. Malah ia menjadi satu landasan terbaik dalam pencarian bakat cilik di Malaysia.

Klip Mini Idola Kecil 3 akan bersiaran setiap Isnin hingga Khamis selama 3 minit pada 7.00 petang manakala Klip Ekstra Idola Kecil 3 pula akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Jumaat jam 9 malam. Klip Ekstra Idola Kecil akan dikendalikan oleh DJ HotFM, Ikhwan yang akan membawa penonton di sebalik tabir aktiviti-aktiviti peserta di luar kelas.

Sementara itu, Alif Satar terus dikekalkan sebagai hos pada musim ini setelah berjaya menambat hati jutaan penonton setia Idola Kecil musim lalu. Kemesraan, keramahan dan kebijaksanaan Alif dalam menangani situasi kerenah peserta Idola Kecil 2 amat terserlah dan memuaskan semua pihak.
Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia binti Raja Haron turut dikekalkan sebagai juri tetap berdasarkan kepada pengalamannya yang pandai berkomunikasi dengan adik-adik ketika di atas pentas. Beliau juga menunjukkan sikap profesional di mana setiap teguran dan pendapat beliau amat bernas serta saksama. Setiap minggu Atilia akan berpasangan dengan seorang juri tempatan dalam menilai prestasi kesepuluh peserta Idola Kecil 3 ini.

Seperti biasa, rutin harian Idola Kecil tidak lengkap tanpa kelas-kelas vokal, tarian dan persembahan. Musim ini, tiga tenaga pengajar berpengalaman dibawa kembali untuk memberi ”sentuhan emas” mereka dalam membentuk penghibur yang versatil. Mereka adalah Cikgu Alfa Booty (komposer), Cikgu Delly (vokal) dan Cikgu Affizal (tarian) yang sudah pun menurunkan ilmu tidak ternilai mereka pada musim-musim sebelum ini.
Untuk mendapat maklumat terperinci berkaitan Idola Kecil 3 serta aktiviti-aktviti menghiburkan yang terdapat di dalam Idola Kecil 3 ini, jangan lupa untuk melayari laman web rasmi www.tv9.com.my/idolakecil3. Menangi hadiah menarik menerusi HotFM yang juga merupakan radio rasmi bagi Idola Kecil 3. info - gua.com

No comments:

Post a Comment